Wednesday, 25 June 2014

IMTIAZ MUNCUL SELOLAH TERBAIK

SERAMAI 36 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang gembira menunjukkan slip 9A peperiksaan PMR mereka, baru-baru ini.

HULU TERENGGANU 26 Dis. (Utusan Malaysia)- Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang (SMIKB) muncul sekolah paling cemerlang di negeri ini apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi dengan nilai 1.03 berbanding 129 buah sekolah lain yang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Biarpun terletak di kawasan luar bandar, ia tidak menjadi halangan untuk sekolah tersebut menduduki tangga teratas dalam keputusan peperiksaan itu berbanding tahun lalu apabila hanya menduduki tangga ketiga dengan nilai GPS 1.10.
Sekolah itu turut tersenarai antara sekolah yang mencatatkan keputusan 100 peratus calon lulus semua mata pelajaran selain Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit, Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam dan SMK Chukai.
Dua sekolah dari Besut turut tersenarai iaitu SM Imtiaz Besut dan SMK Tengku Mahmud manakala dari daerah Dungun, SM Sains Dungun dan SM Imtiaz Dungun serta dua sekolah dari Setiu, SMk Pelong dan SMK Lembah Bidong dan sebuah sekolah lagi dari daerah Hulu Terengganu iaitu SMK Tengku Ampuan Intan.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran dan Akademik Imtiaz, Musa Mamat, keputusan PMR sekolah tersebut amat memberangsangkan pada tahun ini apabila seramai 36 daripada 41 orang calon yang menduduki peperiksaan tersebut berjaya memperoleh keputusan 9A.
Katanya, walaupun ramai calon PMR tahun ini terdiri daripada mereka yang berkeluarga kurang berkemampuan, ia tidak menghalang mereka memperoleh keputusan yang cemerlang.
“Pada tahun ini, semua calon mendapat 100 peratus lulus selain tiga orang mendapat 8A dan a masing-masing seorang calon memperoleh 6A dan 5A.
“Berbanding tahun lalu, walaupun seramai 64 calon menduduki peperiksaan tersebut, hanya 37 orang mendapat 9A, 17 orang (8A), enam orang (7A) dan masing-masing dua orang mendapat 6A dan 5A,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di SM Imtiaz Kuala Berang, dekat sini baru-baru ini.
Menurut Musa, GPS sekolah terbabit menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun dalam peperiksaan berkenaan.
Ujarnya, pada tahun 2007 sekolah itu mencacat nilai GPS 1.26, GPS 1.19 pada 2008 dan tahun lalu terus menunjukkan keputusan cemerlang dengan nilai GPS 1.10 dan pada tahun ini muncul sekolah terbaik dengan nilai GPS 1.03 mengatasi 129 sekolah lain.
Berdasarkan prestasi mata pelajaran pula, Musa berkata, lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan untuk gred A iaitu Bahasa Melayu (95.1%), Bahasa Inggeris (95.1%), Sejarah (100%), Geografi (100%), Bahasa Arab (100%), Pendidikan Islam (100%), Sains (97.6%) dan Kemahiran Hidup (100%) dan hanya satu mata pelajaran menurun iaitu Matematik (97.6%).
Ditanya mengenai rahsia kejayaan sekolah tersebut, Musa memberitahu, semua pelajar sekolah Imtiaz di seluruh negeri diwajibkan menghafaz al-Quran sehingga tamat persekolahan.
Ujarnya, dia percaya pendekatan tersebut merupakan satu rahsia mengapa sekolah Imtiaz di seluruh negeri mampu mencapai kejayaan yang besar dalam peperiksaan yang diadakan.
Tambahnya, pihak sekolah turut mengadakan pelbagai program motivasi dan sahsiah diri bagi memantapkan para pelajar.
“Kita memang memfokuskan semua pelajar dan bukan hanya mereka yang menduduki peperiksaan besar seperti PMR sahaja.
“Selain itu, kita juga merancang waktu cuti mereka agar tidak dihabiskan dengan aktiviti yang tidak berfaedah sebaliknya menganjurkan kelas tambahan, kelas menghafaz dan program keagamaan,” jelasnya.

Alam Akedemik Sma Ittifakiah..



Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan peruntukan segera sebanyak RM30,000 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifakiah, di sini, untuk melengkapkan kemudahan perpustakaan sekolah itu.
Ahmad mengumumkan peruntukan itu pada ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-9 sekolah berkenaan, semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan membeli sebuah bas untuk kegunaan sekolah itu pada tahun hadapan, sebagaimana permohonan yang disampaikan Yang Dipertua PIBG, Abdul Majid Ahmad untuk kemudahan pelajar.
“Tahun depan sekolah ini akan memperoleh bas tersebut.
“Selain itu, walaupun tidak diminta, namun memandangkan tanah kosong masih ada di kawasan sekolah ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan pembinaan dua blok bangunan tambahan sekolah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin ramai memohon masuk ke sekolah agama,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Shaikh Harun Ismail; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ariffin Embong; Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd Wan Ibrahim; pengetua sekolah, Jusoh Mat dan pegawai terlibat.
Kata Ahmad, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk pendidikan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pelajaran yang baik dan mengubah taraf ekonomi rakyat.
“Berbanding negeri lain, kerajaan negeri memperuntukkan wang yang banyak supaya pelajar mendapat kemudahan terbaik dan lebih ramai pelajar dan sekolah cemerlang dapat dilahirkan,” katanya.
Dalam majlis sama Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pelajar, guru dan kakitangan cemerlang.

Permohonan ke SMA meningkat 200 peratus






Antara beberapa orang pelajar yang cemerlang di, Terengganu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima lebih 6,000 permohonan pelajar yang tamat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) di bawah kelolaan kerajaan negeri tahun depan.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid JHEAT, Encik Razak Jusoh berkata, permohonan yang diterima itu melebihi 200 peratus berbanding kekosongan tempat pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan hanya 1,525 tempat sahaja.

Katanya, seramai 125 pelajar akan ditempatkan di sekolah berasarama penuh SMA Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, manakala selebihnya (1,400 pelajar) ditempatkan di sembilan SMA di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kem Imam Muda SMA Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan, Wakaf Tengah, semalam.

Seramai 120 pelajar yang selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada sepuluh SMA tersebut menyertai Kem Imam Muda yang diadakan selama enam hari itu.

Katanya, pelajar yang memperolehi keputusan 5A dalam UPSR layak untuk memohon ke SMA berasrama penuh dan untuk memasuki SMA biasa sekurang-kurangnya 1A berdasarkan kelayakan yang ditetapkan selain anak kelahiran Terengganu.

Selain itu katanya, JHEAT akan mengadakan ujian saringan pada 11 dan 15 Disember ini untuk memilih calon yang benar-benar layak sebelum memulakan sesi persekolahan awal tahun depan.

Katanya setakat ini JHEAT hanya mempunyai 57 kelas daripada sepuluh SMA dan setiap kelas hanya dapat menampung antara 35 hingga 40 orang.

Sehubungan itu, pihaknya sedang berusaha untuk menambah bilangan kelas pada masa akan datang namun ia bergantung kepada persekitaran dan keluasan kawasan sekolah.

Katanya, 10 sekolah agama itu ialah SMA Sultan Zainal Abidin, Ladang, SMA Sultan Ismail Dungun, SMA Al Falah Kemaman, SMA Maarif Besut, SMA Ittifakiah Jertih, SMA Setiu, SMA Marang, SMA Khairiah Kuala Terengganu, SMA Mahmudiah Kuala Berang dan SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin Batu Buruk.

SMAN TERENGGANU jadi pilihan ibubapa

KUALA TERENGGANU – Permasalahan sosial dalam kalangan remaja yang semakin meruncing ketika ini menyebabkan ibu bapa lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah berteraskan agama.

Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Murid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Razak Jusoh berkata, ia berdasarkan senario semakin ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak menyambung pelajaran ke sekolah agama.

Menurutnya, setakat ini hampir 5,000 permohonan pelajar yang layak untuk menyambung pelajaran ke sekolah agama diterima, namun mereka gagal diterima masuk ke sembilan buah sekolah agama di negeri ini kerana tempat terhad.

“Ini disebabkan bilangan kelas di sekolah berkenaan hanya mampu menampung keperluan semasa seramai 1,400 pelajar lepasan UPSR pada setiap pengambilan.

“Bagaimanapun bilangan kelas di sekolah agama negeri sedia ditambah bagi menampung keperluan semasa ini,” katanya selepas merasmikan Kem Imam Muda Sekolah Menengah Agama Terengganu di Pusat Latihan Kecemerlangan Pendidikan Wakaf Tengah, di sini.

Menurutnya, setiap sekolah agama di negeri ini juga mempunyai kelayakan tertentu, iaitu 5A bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, Batu Burok. Minimum 3A 2B bagi SMA Khairiah dan SMA Sultan Zainal Abidin di Ladang.

“Manakala 20 unit (gabungan lima subjek) bagi sekolah lagi iaitu SMA Al-Falah, SMA Mahmudiah, SMA Marang dan SMA Sultan Ismail Dungun dan 18 unit SMA Ittifakiah dan SMA Setiu,” katanya.

Pada program itu, seramai 120 pelajar sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menyertai program yang bermula pada 3 hingga 8 Disember anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu

Tuesday, 24 June 2014

Guru SMAN Terengganu sudah diberi pilihan



Guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu sebenarnya telah diberi pilihan samada untuk kekal di bawah kerajaan negeri atau diserapkan di bawah Kementerian Pelajaran.

Oleh yang demikian, tidak timbul masalah tidak puas hati setelah mereka diserapkan ke dalam skim perkhidmatan pelajaran kerana mereka sendiri yang telah membuat persetujuan melalui opsyen yang telah diberikan.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman ketika diminta mengulas mengenai surat oleh Guru Dilema dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 September lalu. 


“Semasa tawaran pertukaran pelantikan untuk menyertai Kementerian Pelajaran ini dibuka kepada guru-guru SMAN Terengganu tiada paksaan samada mereka ingin menerima tawaran ini atau tidak. “Kebanyakan golongan muda memberikan reaksi positif terhadap tawaran ini dan hanya sebilangan kecil sahaja yang tidak bersetuju.” ujarnya.

Menurut beliau lagi, guru-guru agama yang baru berkhidmat dan masih muda menyokong penuh usaha kerajaan ini kerana berpendapat bahawa tawaran ini membuka peluang kepada mereka untuk kenaikan pangkat dan kedudukan setaraf dengan guru di bawah Kementerian Pelajaran yang lain disamping berpeluang melanjutkan pelajaran.

 “ Sebilangan guru-guru yang tidak bersetuju dengan tawaran ini terdiri daripada mereka yang telah lama berkhidmat dan akan pencen tidak lama lagi.

 “Justeru, soal paksaan dan tidak puas hati sekiranya menerima arahan untuk bertukar keluar daerah seharusnya tidak timbul kerana semasa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran diadakan, mereka mempunyai hak untuk membuat pilihan.’’ tambahnya.

Mengenai soal tugasan pula, Dato’ Ahmad Razif turut menjelaskan bahawa tidak berlaku pertindihan tugas kerana semua tugas guru-guru SMAN Terengganu telah diselaraskan.

Oleh itu, diharap semua guru SMAN Terengganu sentiasa bersemangat untuk mendidik anak-anak dan tidak menjadikan isu ini sebagai halangan untuk mereka mencurah ilmu kepada generasi muda.